PENULISAN REFLEKSI KESIHATAN DIRI DAN KECERGASAN (GKK1043)
GKB 1053 KEMAHIRAN BELAJAR
Pertama
sekali saya ingin menceritakan sedikit tentang diri saya. Nama saya Wan Nurain
Farahiyah binti W Mohamad Baharudin. Saya merupakan pelajar Program Persediaan
Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) ambilan Jun 2020 di Institut Pendidikan
Guru Kampus Dato’ Razali Ismail. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah saya, Encik Biamin bin Ahmad
khususnya yang banyak memberikan tunjuk ajar kepada saya dalam proses
menyiapkan tugasan kerja kursus Kemahiran Belajar (GKB 1053). Seterusnya, saya
juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya yang turut memberi
kerjasama kepada saya dalam membantu saya menyiapkan tugasan kerja kursus ini.
Jadi, pada kali ini saya ingin
menceritakan tentang Refleksi GKK 1043 Kesihatan Diri dan Kecergasan. Pada
mulanya, saya ingin menjelaskan tentang maksud SEGAK yang merupakan ringkasan
kepada Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan untuk Murid Sekolah Malaysia.
Aktiviti segak ini adalah untuk mencapai objektifnya iaitu mengukur dan
merekodkan tahap kecergasan fizikal kendiri, menganalisis dan mentafsir
kecergasan fizikal kendiri, mengetahui tahap kecergasan fizikal kendiri,
merancang dan melakukan tindakan susulan bagi meningkatkan tahap kecergasan
fizikal dan mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat untuk mencapai tahap
kecergasan fizikal berdasarkan kesihatan yang optimum.
Pada kelas pertama GKK 1043, saya
dan rakan-rakan melakukan aktiviti segak yang pertama iaitu mengukur tinggi dan
berat. Jadi, hasil keputusannya berat saya ialah 36kg manakala tinggi saya
ialah 146cm. Proses mengukur ketinggian dan berat ini perlu tepat. Hal ini
kerana kami perlu mengira BMI selepas bacaan berat dan tinggi yang tepat
diperoleh. Cara pengiraan BMI ialah berat (kg) / [ tinggi (m)] 2. Jadi keputusan BMI saya ialah 16.89 yang
menunjukkan saya tergolong dalam kurang berat badan. Dengan keputusan BMI saya
ini saya perlu berusaha untuk menaikkan berat saya dengan mengamalkan
pengambilan makanan gizi seimbang yang mengandungi kesemua kelas makanan dalam
kuantiti yang betul dan mencukupi.
Setelah itu, pada 24 September 2020
saya dan rakan-rakan satu kelas telah berjogging ke bukit maras yang terletak 5
kilometer dari IPGKDRI. Kami berjogging dari IPG ke bukit maras dengan
menggunakan Teknik Long Slow Distant (LSD). Sebelum kami memulakan jogging ini,
kami perlu mengira dan mengambil kadar nadi rehat selama satu minit. Kami berjogging
secara perlahan sebanyak 5 kilometer sebelum tiba ke destinasi iaitu bukit maras.
Setelah tibanya di bukit maras kami berehat seketika sebelum meneruskan
pendakian. Selepas selesai mendaki selama 30 minit kami mengambil kiraan nadi
maksimum. Setelah memperoleh kadar nadi rehat dan kadar nadi maksimum ini,
pengiraan kadar denyutan nadi diperoleh. Keputusannya, kadar denyutan nadi saya
adalah normal. Hal ini menunjukkan bahawa saya mempunyai kadar stamina badan
normal.
Pada 8 Oktober 2020, kami sekelas
telah pergi ke pantai Mengabang Telipot. Kami masih mengamalkan larian LSD.
Jarak larian dari IPGKDRI ke pantai ini ialah 2.2km. seperti biasa, sebelum
melakukan larian kami mengambil kiraan nadi rehat dan setelah itu melakukan
aktiviti memanaskan badan. Selepas itu, kami meneruskan aktiviti pada pagi itu
dengan larian ke pantai. Setelah tiba ke pantai kami berehat seketika dan
mengambil kadar denyutan nadi maksimum. Tujuan kadar nadi ini diambil adalah
untuk mengetahui keupayaan otot jantung bekerja. Setelah itu pada kelas yang
seterusnya iaitu pada 15 Oktober 2020 kami telah pergi ke sawah padi. Sepanjang
perjalanan itu kami telah melakukan larian sejauh 2 km. Setibanya di sawah kami
dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diminta untuk melalui sawah di atas
batas-batas untuk menguji keseimbangan diri.
Secara kesimpulannya, aktiviti bersukan
ini amat penting dalam kehidupan semua orang. Hal ini kerana bersukan ini dapat
memberikan impak positif yang besar kepada mereka yang mengamalkannya. Kita
mestilah sentiasa meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan diri saya. Oleh
kerana itulah kita perlulah berubah kepada cara hidup yang lebih sihat dan
sentiasa berusaha untuk meningkatkan kadar kecergasan badan.


Comments
Post a Comment